Salam Ukhwah

Firman Allah SWT:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri,supaya kamu cenderung dan merasakan tenteram kepadanya,dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih dan sayang.Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir.”


Surah Ar-Rum:21



“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan ahli keluarga mu daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu manakala penjaganya pula adalah malaikat yang kasar,keras malah tidak pernah menderhakai ALLAH terhadap apa yang di perintahkan-NYA kepada mereka serta selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”


Surah al-Tahrim:6



Tuesday, January 5, 2010

Malangnya Kita...


Dalam pertemuan kali ni Abi nak kongsikan satu artikel yang menarik dari Laman Blog SILAKAN TERPESONA

Sama-sama kita renungi,semoga ada manfaatnya..


MALANG BENAR KITA INI......


Kita biasanya tidak terkendali pada saat kaya, sombong pada saat berkecukupan, senang pada saat kaya, lalai untuk mensyukuri nikmat, putus asa kala dirundung kesulitan, marah pada saat dililiti pemasalahan, dan tidak rela dengan ketentuan ALLAH.


Kita benci kefaqiran dan tidak menyukai kemiskinan. Kita menghimpunkan harta lantaran takut miskin. Walhal itu merupakan salah satu dari sikap buruk sangka pada kemurahan ALLAH dan terlalu nipisnya keyakinan akan jaminan ALLAH. Itu saja sudah cukup menjadi bukti dosa.


Kita sering dalam kelalaian. Kita terhalang memperoleh kenikmatan akhirat lantaran memburu kenikmatan dunia yang fana ini. Kita mungkin saja menampuk kenikmatan dunia untuk memperkayakan diri, menyombongkan diri dan menampakkan kekayaan dunia. Padahal kita menyedari bahawa sifat yang sedemikian akan membawa kita bertemu dengan ALLAH dalam kemurkaan-Nya.


Kita juga lebih menyukai tinggal di dunia ini berbanding untuk berdampingan dengan ALLAH Azza wa Jalla dan kita juga bagai tidak suka untuk bertemu dengan-Nya. ALLAH pun pasti tidak menyukai bertemu dengan kita pada saat kita masih dalam kelalaian.


Kita selalu bersedih kerana tidak memiliki harta yang banyak. Sementara kita tidak merasa sedang dekat dengan seksa ALLAH kerana rasa begitu Kita sebenarnya alpa dengan sabda Rasulullah,


”Orang yang bersedih lantaran dunia yang tidak dimilikinya, maka ia dekat dengan neraka hanya berjarak perjalanan satu tahun”.[1]


”Orang yang menyintai dunia dan membuatkannya rasa senang, maka rasa takut akan kegentingan di akhirat akan hilang dari hatinya”.[2]


Anehnya, kita lebih tertarik untuk meraih kekayaan dunia sebanyaknya, sedangkan rasa takut pada ALLAH telah dicabut dari hati kita. Tidakkah disedari?


Mungkin saja perhatian kita pada urusan dunia lebih banyak perhatian kita pada urusan akhirat. Kita juga akan merasa mendapat musibah pada saat perolehan dunia kita menurun. Rasa takut hilangnya harta lebih besar daripada rasa takut akan dosa-dosa kita. Giatnya kita mengumpulkan ’kotoran-kotoran’ itu sekadar untuk menunjuk-nunjuk dan menerbitkan rasa kesombongan. Mungkin kita mengharapkan orang lain menyukai agar kita dimuliakan dan dihormati; sedangkan di waktu yang sama kita sudah membuat ALLAH murka.


Malang benar kita ini! Kehinaan kita di hadapan ALLAH di Hari Qiamat nanti seolah-olah lebih ringan bagi kita berbanding kehinaan di hadapan orang lain. Mungkin saja kita sudah menyembunyikan kejelekan dari orang lain, sementara pada saat yang sama – kamu tidak merasa ALLAH sedang memerhati kejelekan-kejelekan kita. Cemuhan ALLAH kelak seakan lebih ringan bagi kita daripada cemuhan yang datangnya dari manusia. Manusia bagai lebih tinggi nilainya daripada ALLAH Azza wa Jalla. Maha Luhur ALLAH dari ketidatahuan kita ini.


Sungguh kita jauh sekali dengan para salafussoleh apatah lagi dengan para sahabat Nabi. Demi ALLAH, mereka lebih zuhud pada sesuatu yang halal daripada sikap kita pada sesuatu yang haram. Mereka selalu menganggap berbahaya sesuatu yang merosak amal, yang pada kita langsung tidak berbahaya sama sekali. Mereka sangat takut pada kesalahan kecil melebihi rasa takut kita pada dosa besar dan kemaksiatan.


Harta yang paling halal dan paling baik milik kita hampir saja setara dengan harta yang syubhat bagi mereka. Ketakutan pada kejelekan kita daripada diketahui umum hampir sama dengan kegentaran mereka bila amalan kebaikan yang mereka lakukan tidak diterima. Puasa kita hampir sama dengan tidak puasanya mereka. Kesungguhan kita dalam beribadah hampir sama dengan waktu senggang dan tidur mereka. Seluruh kebaikan kita hampir sama dengan satu kebaikan mereka.


Subhanallah!!! Berapa beza jarak antara antara dua kelompok itu; satu kelompok bersama para sahabat terbaik dalam keluhurannya di sisi ALLAH dan sekelompok lagi bersama orang yang berada di kerak neraka atau hanya menunggu ALLAH mengampuni dengan anugerah-Nya.

[1] Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Abi al-Dunya

[2] Hadis ini disebutkan Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulum al-Din. Al –Iraqi mengulasnnya dengan mengatakan, Saya hanya mendapatkan hadis ini dari al-Harits ibn Asad al-Muhahasibi”. (Lihat Ihya Ulum al-Din, 3/262)

Sumber Artikel: http://silakanterpesona.blogspot.com/

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

BUAT INGATAN PARA SUAMI:10 Ciri Suami Mithali

Jarang kita fikirkan dan ungkitkan ciri – ciri seorang suami mithali, selalu pula kita bincang pasal apa seorang isteri yang patut lakukan kepada suami dan keluarganya. Bukan sedikit tetapi banyak perkara yang menjadi tanggungjawab isteri di rumah seperti mengurus rumah, mengajar dan menjaga anak – anak, memasak, mengemas, mencuci baju juga apa yang kita suruh, si isteri akan lakukannya. Berbalik kepada suami, apa yang kita lakukan ?

1. Berpakaian kemas, bersih dan wangi untuk isteri anda.

Bilakah kali terakhir anda beli baju tidur yang mahal ? Seperti juga kita mahukan isteri kita berpakaian cantik untuk kita, mereka juga mahukan suami mereka lakukan perkara yang sama juga. Ingat bahawa Rasullullah S.A.W. akan sentiasa menggunakan miswak (kayu sugi) apabila balik rumah dan sentiasa gemarkan bau – bauan yang wangi.

2. Menggunakan nama yang baik untuk isteri anda.

Gunalah nama yang terbaik untuk panggil isteri anda dan elakkan guna nama yang boleh buatkan hati dia terguris. Panggilan yang manja akan membuat hubungan anda sentiasa mesra.

3. Jangan layan dia seperti ‘lalat’.

Kita tidak pernah fikirkan pasal lalat setiap hari kita kecuali bila dia datang mengganggu kita. Sama juga seperti isteri, dia telah lakukan tanggungjawab sebagai seorang isteri setiap hari tetapi kita tidak pernah menghargainya sehingga dia terbuat silap dan menyusahkan kita. Janganlah kita layan isteri seperti ini, selalulah kita ingat apa kebaikan yang isteri kita lakukan dan fokuskan tentang itu.

4. Elakkan terlampau banyak komplain.

Jika anda terlihat kesalahan yang isteri anda lakukan, cubalah berdiam sahaja dan tidak memberi komen. Ini adalah salah satu cara Rasulullah S.A.W. gunakan apabila baginda melihat sesuatu yang tidak elok dari isterinya. Ini merupakan salah satu ciri yang amat jarang si suami amalkan.

5. Sentiasa senyum dan peluk isteri anda.

Senyum merupakan satu sedekah dan sentiasalah senyum dengan isteri anda. Bayangkan hidup dengan isteri anda sentiasa melihat anda tersenyum. Ingat bahawa terdapat hadith dimana Rasulullah S.A.W. akan mencium isterinya sebelum pergi sembahyang, juga semasa baginda sedang berpuasa.

6. Berterima kasih dengan apa yang telah isteri lakukan kepada anda.

Dan sentiasalah mengucapkan terima kasih. Ambil contoh dimana isteri anda masakkan makanan yang sedap, mengemas rumah dan pelbagai lagi. Kadang – kadang apa yang dia dapat adalah komen dari si suami bahawa sup yang dia masak itu kekurangan garam. Janganlah bersikap begini, berterima kasihlah dengan apa yang dia telah usahakan itu.

7. Mintalah dia tuliskan 10 perkara yang anda telah lakukan membuat dia gembira.

Kemudian lakukan lah perkara itu lagi. Mungkin sukar untuk tahu apa yang dapat membuat isteri anda gembira dan anda tidak perlu untuk teka, tanyalah dia dan ulangkan perkara tersebut sepanjang hidup anda dengan dia.

8. Jangan merendahkan keinginan dia.

Pujuklah dia. Kadang – kala si suami akan mengambil ringan perkara yang diinginkan oleh si isteri. Rasulullah S.A.W. telah memberi contoh apabila insiden dimana Safiyyah binti Hujaj R.A. menangis kerana baginda telah meletakkan dia diatas unta yang perlahan. Baginda membersihkan air mata dan menenangkan dia, kemudian baginda menukarkan dengan unta yang lain.

9. Yang sentiasa berjenaka dan bergurau.

Jadilah seorang suami yang berjenaka dan sentiasa bergurau senda dengan isteri anda.
Lihatlah bagaimana Rasulullah S.A.W. berlumba dengan isteri baginda Aisyah R.A. di padang pasir. Bilakah kali terakhir kita lakukan perkara demikian ?

10. Pesanan Rasulullah S.A.W.

Sentiasa ingat apa yang Rasulullah S.A.W. pesan, “orang yang terbaik dikalangan kamu adalah mereka yang melayan keluarga dia dengan terbaik. Dan akulah orang yang terbaik dikalangan kamu bagi keluarga aku”. Maka dengan hadith ini, anda lakukan lah yang terbaik, insyaAllah akan bahagia dunia dan akhirat.

Kesimpulannya, jangan anda lupa untuk sentiasa berdoa dengan Allah memina supaya perkahwinan anda bahagia dunia dan akhirat, sesungguhnya Allah maha mengetahui.

Dari Laman Blog: TUNGKARAN HATI