
Tabah jaga anak lumpuh
Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul namun itulah dugaan yang terpaksa dilalui seorang suri rumah yang terpaksa menjaga anak sulungnya terlantar sakit akibat lumpuh setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Merlimau awal tahun ini.
Tan Saw Yong, 44, berkata, anaknya, Tee Yang Chiang, 18, mengalami kecederaan serius di kepala sehinggakan tempurung kepala kirinya terpaksa dikeluarkan dan kini disimpan di Hospital Kuala Lumpur.
Menurutnya, tempurung kepala anaknya itu akan dipasangkan semula sekiranya kecederaan di kepalanya sembuh.
Katanya, anaknya yang sebelum ini periang, kini bukan sahaja tidak mampu bercakap, malah tidak dapat menyambung pelajaran seperti rakannya yang lain.
Kuatkan semangat demi anak yang masih kecil
Saw Ying berkata, walaupun sedih dengan keadaan anaknya yang hanya minum susu melalui tiub saluran namun dia perlu menguatkan semangat.
“Empat anak saya masih memerlukan perhatian. Justeru, saya kena kuat dan tetap berharap, ada sinar baru buat anak sulungnya yang pernah menjadi harapan keluarga.
“Memang sedih bila melihat anak yang sepatutnya masih belajar kini hanya terlantar sakit di atas tilam dan tidak mampu bercakap,” katanya ketika ditemui sempena Konvoi Sinar Prihatin Bersama Pembela BN yang melawatnya di rumahnya di Taman Pulai Indah.
Turut serta, Adun Serkam, Ghazale Muhamad; Editor Sinar Harian Edisi Melaka dan Negeri Sembilan, Azlina Mohamad Jantan; Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz dan Penghulu Japerun Serkam, Lazan Ali.
Saw Ying berkata, banyak dugaan dan cabaran terpaksa dihadapi sepanjang menjaga Yang Chiang tetapi dia tidak mudah berputus asa.
“Dengan keadaan keluarga yang serba kekurangan dan suami hanya bekerja kampung, ditambah pula anak yang masih bersekolah, ada kala mengundang resah dan gelisah, lebih-lebih lagi dibebani harga barang semakin meningkat.
“Bagaimanapun, kami sekeluarga bernasib baik kerana mendapat perhatian Japerun Serkam sehingga melayakkan kami menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan selepas Yang Chiang kemalangan,” katanya.
Saw Ying berkata, bantuan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka sekeluarga terutama kos perubatan anak sulungnya yang mahal.
“Tunggakan kos rawatan berjumlah RM318 pun masih belum mampu kami jelaskan.
“Saya harap ada pihak dapat membantu kerana jika nak harapkan gaji suami tidak seberapa, tambahan pula anak ramai dan saya pula tidak bekerja,” katanya.
Turut jaga anak OKU sejak lahir
Selain menjaga anak yang terlantar sakit, si ibu penyayang ini pada masa sama turut menjaga seorang lagi anaknya yang dikategorikan orang kurang upaya (OKU) sejak lahir yang kini berumur 15 tahun.
Walaupun ditimpa ujian berat, Saw Yong tidak pernah mengalah, malah tetap memberikan kasih sayang sama rata kepada semua anaknya.
“Anak anugerah Tuhan. Walaupun dikurniakan anak yang cacat dan seorang lagi tidak mampu berjalan namun saya tetap menyayangi mereka cuma perhatian lebihlah kepada yang kurang sempurna,” katanya
Adun usaha dapatkan bantuan
Sementara itu, Ghazale berkata, pihaknya telah mengambil langkah awal membantu mendapatkan bantuan JKM setiap bulan bagi meringankan beban keluarga terbabit.
Menurutnya, pihaknya juga akan membantu menjelaskan bayaran bil perubatan yang masih tertunggak dan pada masa sama, memanjangkan masalah itu kepada pihak berkenaan supaya keluarga terbabit mendapat pengecualian membayar kos rawatan, perubatan dan pengangkutan Yang Chiang.
“Saya juga akan membantu dan memastikan anak mereka yang masih bersekolah mendapat bantuan Tabung Amanah Pendidikan Negeri,” katanya.
Sementara itu katanya ketika ditanya mengenai program yang dianjurkan, beliau berharap ia diteruskan pada masa akan datang dalam usaha membantu golongan memerlukan.
“Ia secara tidak langsung memberi sinar dan semangat buat mereka yang dilanda musibah untuk meneruskan kehidupan.
“Malah, program ini memberi banyak manfaat kerana dapat mendekati rakyat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment